Posted by: cempakabiru | February 25, 2008

Modal Insan Pemangkin Negara maju

Pembangunan infrastruktur moden dan canggih yang. dinikmati negara ini tidak membawa makna sekiranya pembangunan modal insan diketepikan. “Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan”. Demikianla di  antara ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Selepas 49 tahun merdeka, kerajaan tetap memberi penekanan kepada pembangunan modal insan bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing pada masa depan, khususnya ketika menjadi negara maju menjelang 2020. Seperti beberapa dasar terdahulu yang dikemukakan Perdana Menteri, iaitu Islam Hadhari dan pelan integriti nasional, pembangunan modal insan dalam RMK-9 juga dirangka supaya bersifat holistik, menyeluruh dan bersepadu.

Dengan kata lain, pembangunan modal insan dalam RMK-9 turut memberi tumpuan kepada aspek keinsanan yang terbina menerusi falsafah hidup, agama dan moral. Modal insan diperlukan mempunyai ciri yang memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri inilah yang terangkum dalam gagasan minda kelas pertama. 

Perdana Menteri  telah mengklafikasikan ciri-ciri minda kelas pertama yang meranngkumi  aspek pendidikan, pengetahuan, dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Pembangunan minda kelas pertama memerlukan persekitaran mesra ilmu, prointelektual dan berasaskan pencapaian.  “Minda kelas pertama tidak terbentuk dalam persekitaran sinonim dengan budaya hedonisme, ampuisme dan rasuah. Minda kelas pertama tidak bercambah jika ukuran ilmu hanya diasaskan kepada jenis sijil dan tahap kelayakan akademik.

Dalam persekitaran merangsang pembangunan minda kelas pertama, ukuran ilmu dan pencapaian ialah kegigihan, iltizam, sumbangan konkrit dan gaya hidup berasaskan kepentingan nilai ilmu”. Antara definisi yang agak  komprehensif tentang modal insal ialah definisi yang ditampilkan oleh Aini Jaafar, Pakar Perunding Kaunseling UIAM. Beliau mentakrifkan modal insan sebagai :“Suatu istilah ekonomi yang baru. Dari istilah ini juga jelas ia menggambarkan daripada fahaman kapitalisme. Dengan itu manusia hanya dilihat sebagai buruh dan pengusaha. Perubahan dan kemajuan yang dicapai oleh dunia secara keseluruhannya, membuatkan pakar ekonomis melihat manusia mempunyai kualiti yang lebih dari sekadar buruh atau pun pengusaha. Kualiti ini pula dilihat dari sudut aset”. 

Beliau juga menyatakan manusia adalah suatu sumber yang sungguh besar dalam mengaktifkan segala kegiatan ekonomi. Setakat ini, belum ada pihak yang dapat menentukan secara spesifik ´extent´ (tahap) kemampuan sumber itu. Maklumat terkini hanya menunjukkan betapa ´varified´ (pelbagainya) kemampuan manusia. Walau bagaimanapun, dalam konteks ekonomi, kepentingan sumber manusia dilihat secara perbandingan, iaitu dengan sumber semula jadi lain seperti tanah, hasil galian, dan pelbagai sumber kekayaan semula jadi lain lagi. Semua ini tidak akan berfungsi dan bermakna, sekiranya usaha manusia tidak dilibatkan secara langsung, aktif dan inovatif.  

“Dengan itu, manusia dilihat sebagai suatu jenis modal yang dinamakan sebagai modal insan, iaitu sebagai suatu aset tenaga yang sungguh penting dan bermakna kepada kegiatan ekonomi, pembangunan negara, mahupun kemajuan bangsa dan ummah. Modal ini perlu digerudi, dibangunkan dan diuji bagi menentukan kemampuannya sebelum memanfaatkannya,” ujar beliau.          

 Justeru, kerajaan menerusi RMK-9 bakal melaksanakan program pembangunan modal insan itu secara bestari, merangkumi pemerolehan ilmu pengetahuan serta kemahiran atau modal intelek yang praktikal.

Pendekatan strategik yang bakal digunakan termasuk keupayaan keusahawanan, pengetahuan sains dan teknologi, memiliki sikap, nilai dan etika positif serta progresif menerusi pendidikan dan latihan. Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap Ketua Pegawai eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Prof Dr. Shamsuddin Abdul Rahim, menjelaskan bahawa pembangunan modal insan penting sebagai pengisian utama di kalangan remaja dan belia khususnya pelajar masa kini. “Mencapai kemerdekaan hanyalah permulaan.

Bagi memastikan negara terus maju, penekanan terhadap modal insan di kalangan remaja dan belia perlu ditekankan dalam semua aspek kerana merekalah generasi pelapis”.  “Pendedahan dan pendidikan mengenai kemanusiaan yang mengetepikan prejudis, ekstremis, individualistik dan sebagainya, dan diganti dengan toleransi dan sebagainya, perlu diteruskan bersesuaian dengan tahap ketinggian ilmu yang mereka sedang pelajari. Begitu juga dengan aspek patriotik, kroni, ataupun amalan rasuah kolar putih, boleh didedahkan kepada mereka dengan menyelami secara menuding ke arah diri sendiri”.  

Pembangunan modal insan di kalangan remaja dan belia juga perlu diseimbangkan supaya tidak pihak terpinggir. “Kecenderungan kini adalah menumpukan kepada pemulihan golongan belia bermasalah atau meraikan belia cemerlang dengan pelbagai insentif, berbanding usaha memajukan golongan majoriti belia yang mungkin tidak menonjol kerana kurang bimbingan untuk memaksimumkan keupayaan,” ujar Shamsuddin lagi.           

Shamsudin menjelaskan bahawa pendekatan paling wajar ke arah merealisasikan kelahiran insan kelas pertama ini ialah pemerolehan ilmu pengetahuan sepanjang hayat. “Usaha murni ini tentunya perlu bermula pada peringkat awal lagi iaitu seawal sekolah rendah. Pastinya nanti pembaharuan dalam sistem pendidikan negara secara berperingkat-peringkat itu bakal melahirkan insan yang serba boleh lagi berketerampilan. Hal demikian dapat dilakukan apabila sistem pendidikan jangan terlalu menekankan keputusan cemerlang, gemilang dan terbilang dalam peperiksaan”.

 “Kecemerlangan pelajar harus dilihat daripada semua aspek mencakupi sahsiah, rupa diri hingga kepada pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum. Bagi maksud ini, memang wajar guru diberi pendedahan dan kursus intensif untuk mendapatkan pendekatan baru bagi menggiatkan bidang berkenaan”. Beliau turut menyentuh isu masalah remaja yang terbabit dengan vandalisme, penagihan dadah, salah laku, dan samseng memerlukan penerapan nilai murni dalam kegiatan di luar bilik darjah supaya nanti anak didik ini menjadi warga yang tahu menghormati hak orang lain khususnya ketika di jalan raya. “Apa yang perlu  kita lihat ialah pendidikan secara menyeluruh dan lengkap atau disebut sebagai holistik. Pendidikan tidak harus dilihat semata-mata untuk kepentingan peperiksaan. Penimbaan ilmu secara berterusan pastinya dapat menjana kelahiran modal insan bertaraf minda kelas pertama”. 

“Minda kelas pertama tidak terbentuk dalam persekitaran sinonim dengan budaya hedonisme, ampuisme dan rasuah. Minda kelas pertama tidak bercambah jika ukuran ilmu hanya diasaskan kepada jenis sijil dan tahap kelayakan akademik. Dalam persekitaran merangsang pembangunan minda kelas pertama, ukuran ilmu dan pencapaian ialah kegigihan, iltizam, sumbangan konkrit dan gaya hidup berasaskan kepentingan nilai ilmu,” tambah beliau lagi. 

Sehubungan itu, inisiatif RMK-9 untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti pada semua peringkat perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Inisiatif ini diharap dapat membuka mata dan minda agar lebih proaktif, dinamik dan berpengetahuan untuk melakukan pembaikan dan inovasi, di samping pemantapan asas akhlak dan keinsanan yang kukuh. Inisiatif lain seperti melahirkan institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa juga perlu dirangka dalam perspektif minda kelas pertama. 

Samsuddin menambah, sesebuah universiti ternama bukan hanya pada nama, sejarah dan bangunan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dan peralatan canggih tetapi insan di dalamnya perlu mempunyai kekuatan fizikal, mental dan rohani. Penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang sains dan teknologi serta kemanusiaan membolehkan Malaysia membina satu tamadun yang disegani di dunia. Tamadun Malaysia perlu dibangunkan mengikut acuan sendiri dan ia hanya dapat ditampilkan melalui penguasaan sains dan teknologi serta tidak lupa kepada jati diri bangsa sendiri.”Memperkasa sumber modal insan bakal menyediakan Malaysia dengan satu corak pembangunan berasaskan acuan sendiri yang tidak menolak faedah dari Barat dan Timur. Bangsa Malaysia perlu berciri global dan glokal. Apabila kita tawan dunia ia turut disertai jati diri bangsa Malaysia yang asli dan utuh, jangan sampai lupa bumi yang dipijak,” ujarnya. 

Dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2006 Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyatakan bahawa pembangunan modal insan bermindakan kelas pertama perlu diberi keutamaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju beridentiti sendiri. “Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan serta ingin menjadi bukan sahaja sekadar mana-mana negara maju tetapi negara maju yang mempunyai identitinya sendiri serta mampu terus kekal pada tahap itu, pembangunan modal insan berminda kelas pertama harus diutamakan” .                        

Selain itu, Perdana Menteri memfokuskan golongan pekerja yang merupakan aset terpenting sesebuah negara hingga mampu menentukan turun naik dan jatuh bangunnya sesebuah negara. “Sememangnya modal insan negara perlu terus digilap kerana ianya merupakan elemen terpenting dalam memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang amat mencabar ekonomi yang berlandaskan ilmu pengetahuan yang mantap bersifat holistik dan menyeluruh serta  bertunjangkan sains dan teknologi”.
            
            

Perdana Menteri yang mengharapkan rakyat sebagai modal insan pula perlu terus memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membudayakan semangat pendidikan sepajang hayat. “Ini penting agar modal insan negara sentiasa menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini dan ditunjang pula dengan nilai-nilai murni agar menjadi tenaga kerja yang dinamik dan menghayati budaya kerja berprestasi tinggi”.                      

“Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal insan negara kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat,” ujar beliau lagi .                       

 Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa Teknologi Twintech, Prof Datuk Dr Ismail Mohd Salleh, berkata pembangunan modal insan bukan saja penting kepada pertumbuhan masyarakat, malah memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi.                       

 “Modal insan mempunyai dimensi yang luas iaitu daripada aspek individu, masyarakat dan ekonomi. Dengan memperkukuhkan modal insan itu sendiri, ia akan menggalakkan peningkatan produktiviti negara, sekali gus akan menjana pendapatan lebih baik di samping mewujudkan peluang pekerjaan”.                       

 Melihat kepada contoh negara yang mana aset materialnya rendah seperti Korea Selatan dan Jepun, mereka berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan dapat membantu memajukan diri dan negara setanding negara maju lain. Kejayaan yang dicapai kedua-dua negara itu sering dijadikan model oleh negara lain, termasuk pesaing dalam menangani aspek nilai dan jati diri sebagai pemacu kepada pertumbuhan negara.                        

“Dengan nilai modal insan yang tinggi, rakyat Jepun dan Korea Selatan berjaya membuka mata dunia terhadap kemajuan yang dicapai. Rakyatnya mempunyai kesetiaan tinggi bukan saja terhadap negara, malah pekerjaan,” ujar Ismail.                       

 Menurut beliau lagi, peranan pembangunan sosial perlu diseimbangkan dengan pembangunan fizikal kerana modal insan juga mampu meningkatkan mobiliti masyarakat dalam membentuk anjakan paradigma ke arah mencapai masyarakat yang cemerlang.                        

Kesimpulannya pemahaman mengenai kepentingan modal insan perlu diberi penekanan di kalangan rakyat supaya mereka memahaminya dan memastikan apa yang dirancang dapat dilaksanakan serta mencapai matlamat . Bagi memastikan Malaysia maju mengikut acuan yang tersendiri, pembangunan modal insan secara menyeluruh dan bersepadu perlu dijalankan supaya dapat membentuk individu  berketerampilan dan berkualiti dalam melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.  


Responses

  1. sesungguhnya kita sudah berada di landasan yang betul… oleh yang demikian.. undilah untuk malaysia kita yang tercinta… Allah Akbar!!!

  2. kita sudah berada di landasan yang betul… oleh itu undilah untuk malaysia kita yang tercinta… Allah Akbar!!!

  3. MariLah mari.. Turun mengundi..
    Sebelum tu niat dulu..

  4. aik? nak kena niat juge ke? cmner niat mengundi tu ek…

  5. sahaja aku mengundi ikut Barisan pangkah Pas demi Keadilan kerana Allah Taala. Hehehe…

  6. setuju sangat laa, modal insan melambangkan pembangunan umat …

  7. setiap individu bertanggungjawab untuk menjadi mondal insal yang berkualiti…

  8. ermm..nk tye la..
    ape langkah untuk memperbanyakkan modal insan ni??
    klu boleh,send kt email sy yer??
    zulaikha_mn@yahoo.com.my


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: